OXIMEL
(Sakanjabīn)
Dalam dunia perubatan, ada pelbagai sistem perawatan dengan pelbagai latar belakang. Kita mungkin sudah terbiasa dengan Perubatan Moden, Perubatan Tradisional Cina dan Perubatan Ayurveda.
Sebenarnya ada satu lagi sistem perubatan yang jarang diketahui oleh umum,
khususnya rakyat Malaysia. Sistem tersebut ialah sistem perubatan yang
dimulakan oleh tamadun Yunani dan diteruskan oleh tamadun Arab. Sekarang ia
dinamakan Perubatan Yunani (Unani Medicine) di samping beberapa nama
lain seperti Persina (Perubatan Ibnu Sina). Perubatan Tradisional Melayu juga
menggunakan sistem yang sama. Dalam sejarah perubatan, sistem ini sangat
berjasa kerana ia menjadi dasar bagi Perubatan Moden.
Ibnu Sina melalui
karya agungnya al-Qānūn fī al-Ṭibb menyatakan bahawa terdapat dua tujuan
utama ilmu perubatan iaitu mengekalkan kesihatan dan menghilangkan penyakit.
Apa yang unik dalam Persina ialah kedua-dua tujuan itu boleh dicapai melalui
pengambilan satu ramuan istimewa yang kelihatan biasa namun sangat bermanfaat.
Ramuan yang dimaksudkan ialah oximel atau sakanjabin.
PENGENALAN
Oximel merupakan gabungan dua perkataan iaitu oxy yang bermaksud masam atau asid dan mel yang bermaksud manis atau madu. Perkataan oximel telah di‘arabkan dan disebut sebagai uksūmālī. Perkataan sakanjabin pula berasal
daripada bahasa Farsi. Ia terdiri daripada dua perkataan iaitu sirkah
yang bermaksud cuka dan an‧gabīn yang bermaksud madu. Kedua-dua perkataan
ini digabungkan dan di‘arabkan sehingga menjadi sakanjabīn. Sebahagian penulisan mengesahkan bahawa ramuan
oximel yang terdiri daripada cuka dan madu ini dimulakan oleh tamadun Farsi
terlebih dahulu, kemudian barulah tamadun Yunani.
Ramuan ini
digunakan oleh tokoh-tokoh perubatan terdahulu untuk penjagaan kesihatan dan
perawatan penyakit. Antara tokoh penting yang pernah menulis tentang oximel ialah Hippocrates, Galen, Ar-Razi, Ibnu Sina dan Ibnun Nafis.
KATEGORI
OXIMEL
Oximel secara umumnya boleh
dibahagikan kepada dua kategori iaitu oximel ringkas (simple oxymel) dan
oximel kompleks (complex oxymel). Oximel ringkas ialah
oximel yang terdiri daripada gabungan bahan masam dan bahan manis sahaja,
tiada campuran bahan lain. Oximel ringkas dikenali sebagai sakanjabīn
sāżij. Banyak bahan manis yang boleh digunakan, antaranya ialah madu dan
gula. Begitulah juga dengan bahan masam, antara bahan masam yang boleh
digunakan ialah cuka dan perahan limau. Sekiranya oximel disediakan dengan
menggunakan madu sebagai bahan manis, ia dinamakan sakanjabīn ‘asaliyy.
Sekiranya bahan manis yang digunakan untuk menghasilkan oximel ialah gula,
ia dikenali sebagai sakanjabīn sukkariyy.
Oximel kompleks ialah oximel yang terdiri daripada bahan masam dan bahan manis
beserta bahan lain selain kedua-duanya. Antara tujuan utama oximel ringkas
dicampurkan dengan bahan lain adalah untuk (1) meningkatkan keberkesanan bahan
lain, (2) mengurangkan kesan sampingan bahan lain, (3) mewujudkan fungsi baru
yang hanya terhasil melalui campuran oximel ringkas dengan bahan lain
dan (4) memperelokkan rasa bahan lain yang kurang enak, sehingga bahan tersebut
lebih sedap dan mudah dimakan. Antara contoh oximel kompleks ialah sakanjabīn
bużūriyy, sakanjabīn ‘unṣuliyy, sakanjabīn safarjaliyy dan sakanjabīn
afsūmāliyy.
MEKANISME
FUNGSI OXIMEL
Dalam ilmu sains moden seperti
kimia, farmakologi dan farmakognosi, fungsi oximel belum dapat dikenal
pasti sepenuhnya. Hal ini menyebabkan oximel tidak digunakan secara meluas
dalam pengubatan sepertimana ia digunakan oleh pakar-pakar perubatan Islam
terdahulu.
Persina berdiri
dengan disiplinnya yang tersendiri sehingga mampu bertapak di pelbagai
universiti di Eropah selama ratusan tahun, bahkan kitab al-Qānūn Fī al-Ṭibb
dikatakan sebagai kitab rujukan perubatan yang paling lama digunakan dalam
sejarah. Dengan disiplin tersebut, pelbagai penjelasan mengenai mekanisme
fungsi oximel dinyatakan oleh Ibnu Sina, termasuklah juga tokoh-tokoh lain
sama ada yang berbangsa arab atau bukan.
Mekanisme utama
bagi oximel ialah keseimbangan sifatnya, iaitu keseimbangan antara sifat
sejuk dan panas. Menurut Ibnu Sina, cuka didominasi oleh sifat sejuk, manakala
madu didominasi oleh sifat panas. Campuran dan sebatian antara cuka dan madu
berdasarkan sukatan dan pengiraan yang tepat mewujudkan keseimbangan pada
oximel yang dihasilkan. Sifat panas yang ada pada madu menyebabkan ia mampu
melakukan proses-proses yang bersifat katabolik seperti membuka saluran darah
yang sempit dan tersumbat serta memecahkan molekul-molekul yang bersifat
toksik. Namun, kepanasan madu yang sepatutnya meningkatkan haba tubuh dihalang
oleh cuka yang bersifat sejuk. Dengan itu, proses untuk melancarkan perjalanan
cecair di dalam tubuh dapat dilakukan tanpa memudaratkan organ-organ.
KEBAIKAN
OXIMEL
Oximel secara umumnya bertujuan
untuk melancarkan perjalanan cecair tubuh dengan cara membuka saluran yang tersumbat
dan memecahkan bahan yang menghalang pergerakan cecair tubuh. Apabila
perjalanan tersebut lancar, segala keperluan sel seperti oksigen dan nutrien
dapat disampaikan dengan sempurna. Selain itu, kelancaran itu juga menyebabkan
sisa-sisa sel seperti karbon dioksida dan sisa nutrien dapat dibuang dengan
baik. Fungsi ini digunakan untuk penjagaan kesihatan secara umum untuk semua
golongan.
Dalam kes demam,
oximel berfungsi menguraikan cecair tubuh yang rosak yang menyebabkan
berlakunya demam. Begitulah juga dalam keadaan batuk, oximel akan
menguraikan kahak yang ada dalam salur pernafasan dan menolaknya keluar. Untuk
pembersihan usus, oximel akan membersihkan saluran penghadaman sekaligus
membantu proses penyerapan nutrien dan proses penyingkiran patogen dalam usus.
Oximel digunakan juga dalam beberapa kes kecemasan seperti keracunan, sawan (epilepsi)
dan patukan ular. Oximel jika disediakan dalam bentuk minuman dapat
menghilangkan rasa dahaga secara efektif berbanding minuman lain.
LANGKAH
BERJAGA-JAGA
Walaupun oximel pada asalnya
ialah nutrien biasa iaitu cuka dan madu, beberapa langkah berjaga-jaga tetap perlu
diambil dan diperhatikan. Ini kerana oximel merupakan bahan baru yang bukan
lagi cuka dan madu, ia mempunyai fungsi farmakologi yang khusus seperti ubatan
lain. Jadi, pengambilan dan pengamalannya mestilah dalam bentuk yang sederhana
dan tidak berlebih-lebihan. Apa sahaja bahan yang baik untuk tubuh, jika
diambil secara berlebihan akan membahayakan tubuh sepertimana gula dan garam
mineral.
Mereka yang
menghadapi masalah usus yang krtitikal seperti luka dan buasir seeloknya tidak
mengambil oximel, atau diambil secara minimal dan cair. Begitulah juga dengan mereka yang mengalami masalah
kritikal pada buah pinggang, pundi kecing dan rahim. Sekiranya oximel diambil secara berlebih-lebihan, ia berpotensi memudaratkan fungsi seksual dan sistem
saraf.
PENUTUP
Oximel mempunyai potensi
pengubatan yang sangat besar. Walaupun dunia moden hampir-hampir tidak lagi
memandangnya, kajian ke atasnya perlu diteruskan. Dengan peralatan canggih dan
teknologi moden yang ada sekarang, kajian yang dibuat terhadap oximel pasti
menghasilkan pelbagai maklumat baru mengenai fungsi oximel.
Sekiranya
oximel mampu dibuktikan sebagai panasea (panacea), maka itu sudah
cukup untuk menjadikannya sebagai ubatan utama di samping beberapa ubatan lain,
kerana ubat yang terbaik ialah ubat yang paling banyak fungsi penyembuhannya
dan paling sedikit kesan sampingannya.
RUJUKAN
1. Al-Qānūn fī al-Ṭibb,
Ibn Sīnā
2. Risālah fī al-Sakanjabīn,
Ibn Sīnā.
3. Al-Mūjaz fī al-Ṭibb,
Ibn al-Nafīs.
4. Al-Ḥāwī fī al-Ṭibb,
Al-Rāzī.
5. Al-Masā’il fī al-Ṭibb, Ḥunain bin Isḥāq.